Duniaku Duniaku

Duniaku dunia tanpa sempadan. Di sini imaginasi, idea, angan-angan, impian, dan fantasi semuanya bebas. Peri-peri? Kuda unicorn? Ya, semuanya ada di DUNIAKU.

Isfahan Itu Aku (I)

Malam sudah lama berlalu. Kini hanya keheningan dan kegelapan malam, juga sejuknya bayu yang menemani Isfahan. Dia masih belum tidur. Sibuk bekerja, juga berfikir.

Kebelakangan ini, hari-hari Isfahan sangat sibuk. Kerjanya tidak terkira banyaknya. Semakin hari berlalu, semakin banyak tugasan yang diterimanya. Isfahan redha. Baginya, ini barangkali dugaan Allah ke atas dirinya untuk mengecapi kejayaan di hari kelak. Insya-Allah.

Isfahan seorang yang selalu fokus dalam pekerjaannya. Lahir dari keluarga yang serba sederhana, dia tahu yang kesungguhan dalam bekerja itu penting. Kejayaan tidak akan hadir tanpa usaha. Itu apa yang selalu disemai oleh kedua ibubapanya. Dan itu juga yang menjadi pegangan Isfahan.

Namun, kini mindanya kian terganggu. Hatinya sering gusar. Perasaan cinta yang hadir dalam hatinya sangatlah hebat kuasanya. Dia tidak menyangka cintanya kepada Insyirah sebegitu dalam. Baginya, ini semestinya bukan cinta biasa. Ya, sungguh luar biasa.

Sejujurnya, hatinya gusar kerana dia hanya mampu menyintai Insyirah dalam hatinya sahaja. Azabnya memendam perasaan suci ini hanya Allah yang Maha Mengetahui. Dia benar-benar menyintai Insyirah dan berharap yang suatu hari nanti Insyirah juga mampu menerima cintanya. Dia benar-benar ikhlas.

Isfahan tidak tahu akan perasaan Insyirah terhadapnya. Barangkali Insyirah masih belum bersedia untuk menerima cintanya itu. Mungkin. Dia hanya mampu membuat andaian.

"Bagusnya jika Insyirah tahu perasaanku. Bagusnya jika Insyirah memberikanku petanda. Bagusnya jika kami dapat bersama" keluh Isfahan tanpa henti.

Sesungguhnya tiada apa yang bermain diminda Isfahan kini kecuali Insyirah. Isfahan merasakan yang dirinya sungguh tidak berdaya. Cinta yang dihadapinya kini terlalu hebat. Yang mampu dilakukannya kini hanyalah berdoa dan bertawakal kepada yang Maha Esa, agar cintanya dapat direalisasikan. Dia yakin Insyirah memang diciptakan untuknya.

Dalam keletihan akibat bekerja dan minda yang tidak henti-henti menenangkan hatinya yang keliru, Isfahan akhirnya terlelap. Dia benar-benar penat. Matanya kini gelap bak malam yang serba menghitam di luar sana. Tanpa bulan. Tanpa bintang. Yang ada menemani cuma perasaan cintanya terhadap Insyirah. Perasaan yang membuatkan dirinya lena diulit mimpi indah.

Keindahan yang pastinya cuma sementara. Hanya menanti hadirnya sang mentari yang akan menghapus indahnya mimpi itu. Tapi yang pasti, cintanya kepada Insyirah tidak mungkin terhapus. Tidak mungkin. Dia terlalu cintakan Insyirah.

Selalu terfikir. Antara pandai dengan sanggup, yang mana lebih baik. Persoalan di sini tertumpu kepada pandai atau sanggup dalam hal-hal yang berkaitan dengan masak-memasak, misalnya.

Jelas sekali kebanyakan lelaki mengidamkan seorang perempuan yang pandai memasak untuk dijadikan suri hidup mereka, tapi adakah ini mencukupi?. Ya, isteri yang pandai memasak memang pasti dapat memikat hati suami mereka, kerana masakan penuh kasih dan tanggungjawab memang lain rasanya.

Tapi, segelintir perempuan yang pandai memasak, akan kurang memasak untuk si suami selepas mereka berkahwin. Mungkin hanya akan mula memasak apabila hadirnya cahaya mata. Jadi mula terfikir, apalah ertinya jika si isteri pandai memasak tapi tidak sanggup memasak untuk si suami.

Saya merasakan yang ciri-ciri isteri idaman seorang lelaki mesti ada kriteria iaitu perempuan yang faham akan tanggungjawabnya ke atas suami. Ini sememangnya satu kriteria yang sangat penting.

Jadi, lelaki tak seharusnya memilih perempuan hanya kerana dia pandai memasak. Perempuan yang kurang mahir memasak pula tidak harus merasa rendah diri. Mereka mungkin mempunyai peribadi yang lebih baik. Peribadi yang baik dan ketaatan kepada suami membawa ke syurga. Ini yang terpenting.

Jadi, antara pandai dengan sanggup...yang mana jadi pilihan?
Bagi saya kedua-duanya patut berada dalam satu pakej. Bukankah begitu? Tapi kesanggupan itu yang pastinya lebih baik =)

Senja kian melabuhkan tirainya. Isfahan termenung di sebalik kesuraman senja. Matanya jauh merenung tasik di hadapannya. Fikirannya terlalu berserabut. Memang banyak perkara yang difikirkannya ketika itu. Dia tidak menyangka niatnya untuk berjoging di sekitar tasik pada hari itu telah mengundang banyak perkara yang hanya mengganggu mindanya. Terbaru, soalan rakannya ketika mereka berjumpa.

"Is, kau nak kahwin ke?" soal rakannya.

"Nak kahwin? Ya, memang aku nak!" jawab Isfahan dalam hati.

Dia hanya mampu tersenyum di hadapan mereka setiap kali itu yang diungkapkan. Tapi yang menjadi persoalannya, siapakah yang akan mendampinginya?. Dia tidak tahu. Dia hanya mampu berserah kepada Illahi.

Sedari dulu, Isfahan memang tiada tuah dengan wanita. Semua cinta yang berputik di hatinya hanya mampu dipendam. Walaupun dia dilabel sebagai seorang yang riuh oleh rakan-rakan, namun sebenarnya dia seorang yang pemalu. Mungkin atas sifatnya inilah dia masih belum pernah berdampingan dengan mana-mana wanita sehingga mengundang tawa rakan-rakannya yang lain.

"Ah! Kalau hanya mahu berdamping-dampingan nak buat apa. Akhirnya hanya akan saling menyakiti. Aku tak mahu sakiti wanita. Tak mahu!" teriak Isfahan dalam hati.

Dia memang berazam untuk tidak pernah menyakiti wanita. Baginya, cinta dan wanita adalah sesuatu yang mulia dan kewujudannya bukan untuk disakiti. Dia tidak perlukan kekasih, tapi seorang isteri yang akan menjadi suri dalam hidupnya. Itu yang terpenting baginya.

Di kala berjoging mengelilingi tasik sebentar tadi, Isfahan terserempak dengan ramai pasangan, baik pasangan kekasih mahupun suami isteri. Hatinya meronta minta dikurniakan sebuah cinta hingga menimbulkan kerunsingan kepada dirinya ketika ini. Tapi dia terpaksa menahan segala perasaan cintanya selama ini. Dia masih belum bersedia, fikirnya.

Namun begitu, sudah sekian lama Isfahan menaruh hati pada seseorang. Hatinya sudah ditawan oleh seorang wanita bernama Insyirah. Baginya, Insyirah adalah segalanya. Tapi dia hanya mampu memendam rasa, takut Insyirah menjadi kurang senang dengan perasaan yang hadir dihatinya kini. Kini, Isfahan runsing antara mahu mengemukakan perasaan cintanya atau terus menjaga perasaan Insyirah. Dia merasa seperti terperangkap.

Akhirnya renungan Isfahan terhenti. Fikirannya yang runsing dan hatinya yang bercelaru tadi dikejutkan azan maghrib yang berkumandang menemani hadirnya senja. Isfahan bangun, lantas memulakan langkah untuk pulang.

"Ah, biarlah aku simpan sahaja perasaan ini, asalkan Insyirah tak bencikan aku. Biarlah hati aku yang sakit, asalkan dia tak disakiti" fikir Isfahan lagi sambil mempercepatkan langkahnya menuju jalan pulang yang semakin gelap ditelan malam.

Siapa Aku?

My photo
Sang penglipur lara dari dunia nyata yang terkadang lebih menggemari alam fantasi.

Duniaku Duniaku

Mari bercerita. Mari berimaginasi. Mari berfantasi. Mari berkongsi idea. Ya, mari!

Klik-klik =)

Hall of fame

Blog updates